KUALA LUMPUR, 8 Mac — Pakatan Rakyat (PR) bimbang Pilihan Raya 2013 yang perlu diadakan selewat-lewatnya pada Jun akan ditangguhkan berikutan konflik yang melanda di Lahad Datu dan Semporna, Sabah.
Kebimbangan itu disuarakan oleh Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub (gambar) jika insiden di Sabah itu dijadikan alasan untuk menangguhkan pembubaran Parlimen.
“Kita (PR) dah tunggu lepas sambutan Cap Goh Meh tapi tidak bubar juga, hendak tunggu bila lagi. DUN (Dewan Undangan Negeri) Johor bubar 21 haribulan (Mac) ni, takkan nak biar DUN Johor terbubar macam itu saja?” kata anggota parlimen Kubang Kerian dipetik dari portal berita Sinar Harian Online.
“Saya rasa apa yang berlaku hari ini membuktikan Barisan Nasional (BN) benar-benar takut berdepan dengan PR dan sebab itu mereka melengah-lengahkan pembubaran Parlimen,” tambah beliau lagi.
Naib Presiden PAS itu meminta Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak menjadikan Sabah sebagai alasan untuk menggantung perlembagaan dan mengisytiharkan darurat.
Adik kepada Jamalul Kiram III, lelaki yang mendakwa dirinya Sultan Sulu, Agbimuddin Kiram mengetuai seramai kira-kira 200 lelaki yang mengaku mereka sebagai Tentera Di Raja Sulu menceroboh Lahad Datu pada 9 Februari lalu untuk memperbaharui tuntutan keatas negeri utara Borneo tersebut.
Pasukan keselamatan Malaysia memulakan beberapa siri serangan keatas kumpulan militan awal pagi Selasa menerusi pengeboman dan tembakan artileri ke Kampung Tanduo bermula jam 7.00 pagi, sebelum menghantar lima batalion tentera untuk membantu pasukan polis di dalam Ops Daulat.
Walau bagaimanapun, serangan besar-besaran tersebut dikatakan gagal mengenai sasaran serta beberapa laporan mendakwa serangan tersebut langsung tidak mengenai Agbimuddin dan pengikutnya.
Pilihan Raya 2013 dikatakan akan menjadi paling sengit dalam sejarah kerana buat pertama kali, BN berhadapan dengan pencabar hebat, PR yang ditubuhkan selepas PKR, DAP dan PAS menafikan majoriti tradisi dua pertiga BN dalam Pilihan Raya 2008. TMI
0 komentar:
Posting Komentar